Mukhsin: My First Love Story

Submitted by rajanorashikin on Sun, 2006-12-03 10:17.
Mukhsin: My First Love Story

Mukhsin lulus tanpa pemotongan
Oleh Norhayati Nordin

JIKA sebelum ini filem Gubra arahan pengarah kontroversi, Yasmin Ahmad lulus 100 peratus tanpa sebarang pemotongan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF). Nampaknya, perkara yang sama berlaku pada filem terbaru arahannya, Mukhsin.

Karya terbaru Yasmin ini masih mengekalkan kisah teraju utama dalam dua filem terdahulunya, Sepet dan Gubra iaitu Orked. Namun, kali ini ia menggambarkan Orked ketika zaman kanak-kanaknya.

Ketika kanak-kanak, Orked mengenali dan bersahabat dengan Mukhsin. Apapun, Mukhsin juga memperoleh klasifikasi 'U' (umum) bagi penayangannya di pawagam nanti.

Yasmin berkata dia sangat gembira dengan keputusan LPF itu. Katanya, dia bersyukur Mukhsin dapat ditayangkan sebagaimana yang diinginkan.

“Saya tidak pernah terfikir ia akan lulus 100 peratus daripada pemotongan LPF. Pada mulanya, saya mengagak kalau ada pemotongan pun mungkin babak perbualan ibu Orked. Dalam perbualan itu, dia (ibu Orked) bercakap pasal buah dada dan 'mencubitnya'.

“Satu lagi, ketika mereka bercakap pasal tampon. Bagaimanapun, saya mengagak Mukhsin tidak akan membangkitkan kontroversi sebagaimana disangka sesetengah orang apabila Sepet menghadapi beberapa pemotongan dulu,” katanya.

Yasmin berkata, Mukhsin `terselamat’ daripada sebarang pemotongan mungkin disebabkan ia kisah cinta yang indah. Lebih kepada cerita cinta pertama serta bagaimana satu perhubungan boleh terjejas apabila cinta meresap dalam persahabatan Orked dan Mukhsin.

Walaupun belum ditayangkan di pawagam tempatan, Mukhsin buat kali pertama ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF) baru-baru ini dan dicalon bagi Filem Asia Terbaik. Filem terbitan MHZ Film Production untuk Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB).

Selain itu, filem ini juga menampilkan Sharifah Aryana sebagai Orked dan memperkenalkan Mohd Syafie Naswip (Mukhsin). Ia menjalani penggambaran selama 12 hari di Kuala Selangor dan Sekinchan.

Sekalipun masih baru dalam industri perfileman tanah air, nama Yasmin dikait dengan pelbagai isu panas. Antaranya, apabila Sepet yang menaikkan nama Sharifah Amani itu dianugerahkan Filem Asia Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Toronto (TIFF), tahun lalu.

Bukan itu saja, Sepet juga menghadapi lapan pemotongan daripada LPF apabila ditayangkan kepada penonton Malaysia beberapa tahun lalu.

Justeru, Yasmin ketika itu secara terangan melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan LPF. Selepas itu, Yasmin sekali lagi menjadi bahan terjahan apabila filemnya, Gubra yang dibintangi Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Amani dicop sebagai filem yang `mencemar budaya, maruah bangsa dan agama’.

Malah, Gubra yang mendapat kelulusan sepenuhnya daripada LPF turut meraih anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) lalu.

Pengurus Besar GBSB, Ahmad Puad Onah berkata beliau turut berasa lega dengan keputusan LPF itu sambil menyifatkan Mukhsin sebagai satu lagi filem bermutu `sentuhan’ Yasmin.

Katanya, Mukhsin bukan kerjasama pertama antara GBSB dengan Yasmin. Sebelum ini, Yasmin sudah diberi peluang dan kepercayaan mengarahkan Rabun.

“Sudah tentu kita amat gembira dengan kerjasama yang kembali terjalin ini. Terutama dalam keupayaan untuk mengangkat filem kita ke tahap lebih tinggi selain memberi peluang kepada sutradara `aliran baru’ seperti Yasmin untuk terus berkarya,” katanya.

Selepas Tokyo, Mukhsin dijangka menyertai beberapa lagi festival antarabangsa. Antaranya, San Francisco sebelum menemui penonton Mac tahun depan.